Santunan Kasih Perak, ,hasil usahasama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan (Exco WAKEUP), Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), diselaraskan oleh Sunshine Qualicare Sdn Bhd, menyahut seruan kerajaan bagi organisasi-organisasi bukan kerajaan untuk melibatkan diri dalam sektor penjagaan yang semakin berkembang, khususnya dalam memastikan keperluan golongan warga emas yang semakin bertambah dapat dipenuhi. Ia juga mengambil kira keperluan negara untuk berdiri sendiri dalam menghadapi penuaan populasi. Oleh itu, Santunan Kasih Perak memainkan peranan sebagai sebuah platform sistem sokongan sesama penjaga dan sesama warga emas untuk menjana dan berkongsi maklumat berkaitan dengan bidang ini.
Selain daripada itu, Santunan Kasih Perak akan dijadikan sebagai pusat sehenti bagi kedua-dua golongan warga emas dan penjaga untuk mendapatkan maklumat di hujung jari. Data pusat jagaan atau pusat aktiviti warga emas akan dimuat naik dan dapat dicapai sesiapa sahaja yang memerlukannya dengan serta merta.
Bagi penjaga, portal Santunan Kasih Perak akan dilengkapi dengan modul pengetahuan berkaitan kesihatan warga emas, dalam bentuk toolbox, contohnya cara-cara mengesan penyakit dimensia, tanda-tanda awal serangan jantung atau strok dan berbagai maklumat lain yang dapat membantu tugas seharian penjaga-penjaga terlibat.
Untuk golongan warga emas pula, portal Santunan Kasih Perak boleh digunakan untuk mencari penjaga tanpa memerlukan perantaraan pihak ketiga. Santunan Kasih Perak akan memuat naik data penjaga-penjaga terlatih di dalam satu pangkalan data utama. Individu yang memerlukan perkhidmatan penjaga boleh membuat carian menurut keperluan dan daerah masing-masing. Pantauan akan dibuat secara berkala untuk memastikan penjaga-penjaga yang tersenarai mencapai jangkaan perkhidmatan, keperluan latihan tambahan, atau sekiranya penjaga memerlukan informasi penjagaan yang spesifik, contohnya dalam jagaan paliatif, dan sebagainya.
Untuk sebarang maklumat, sila hubungi kami di sunshinequalicare@gmail.com atau menerusi telefon di 019-859 3007